SHAH ALAM: Pengeluar produk keluli, AYS Ventures Bhd, memperuntukkan RM20 juta sebagai modal kerja (capex) dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2019.
Timbalan Pengarah Urusannya, Oh Yung Sim, berkata sebahagian besar daripadanya akan digunakan bagi pembinaan kemudahan gudang simpanan baharu di kawasan seluas 1.62 hektar yang dijadualkan siap tahun depan.
Beliau berkata, capex dalam tahun semasa itu adalah lebih kecil berbanding tahun sebelumnya, iaitu sekitar RM35 juta yang dimanfaatkan bagi pemasangan kemudahan komputer kawalan berangka (CNC) dan pembinaan kompleks gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
"Capex yang dibelanjakan itu, bertujuan mengukuhkan prestasi kumpulan dengan meraih keberkesanan kos yang lebih tinggi," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan itu di sini, hari ini.
Berhubung prospek perniagaan, Yung Sim berpandangan bahawa persekitaran perniagaan industri keluli adalah baik dalam tahun kewangan semasa mengambil kira kerancakan industri pembinaan domestik.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pengecilan kos dan penangguhan beberapa projek infrastruktur berskala besar yang digerakkan kerajaan, contohnya projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), akan memberikan impak kepada syarikat.
Namun, beliau menegaskan ia tidak ke tahap yang mana ia akan menjejaskan operasi syarikat.
Beliau berkata, secara keseluruhan permintaan terhadap produk keluli masih kukuh dan yakin pendapatan syarikat dalam tahun kewangan semasa dapat dikekalkan sekitar tahap yang diraih tahun lalu.
AYS Ventures mencatat keuntungan bersih RM23.531 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018 berbanding RM27.732 juta tahun sebelumnya.
Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat kepada RM562.508 juta berbanding RM530.085 juta.
Penyusutan keuntungan itu disumbang terutama oleh peningkatan kos produk yang dijual, selain peningkatan kos pengeluaran susulan kos kewangan yang lebih tinggi.
Kos kewangan dalam tahun dikaji meningkat 13.1 peratus, atau RM1.056 juta kepada RM9.103 juta berbanding RM7.274 juta tahun sebelumnya.
Kekuatan nilai ringgit adalah risiko operasi kritikal bagi AYS Ventures yang memberi kesan kepada kos bahan diimport.